PMB Tijari Sedia Dana Pembiayaan Berjumlah RM41 Juta Untuk PKS (Kosmo!)

KOSMO! | 8 Oct 2019 | FATTAH MOHD SAPIAI | KUALA LUMPUR

Bantu Usahawan Ke Luar Negara

PMB Tijari Bhd, (PMB Tijari) anak syarikat Pelaburan Mara Bhd (PMB) memperuntukkan bantuan pembiayaan berjumlah AS$10 juta (RM41.91 juta) bagi membantu usahawan tempatan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menembusi pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Sazriz Wan Zaid berkata, pembiayaan dana hasil kerjasama Kumpulan Islamic Development Bank (IDB) itu dapat membantu syarikat tempatan melaksanakan projek di luar negara.

Menurut Wan Sazriz, setiap syarikat akan menerima pembiayaan maksimum sehingga AS$1 juta (RM4.19 juta) dalam bentuk pembiayaan jangka pendek dengan tempoh pinjaman antara enam bulam sehingga lima tahun.

Katanya, dana yang akan diagihkan bermula Januari 2020 itu dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 30 usahawan tempatan memandangkan tidak semua yang akan menerima pembiayaan maksimum kerana jumlah pinjaman akan dinilai mengikuti keperluan mereka.

“Inisiatif dana dalam bentuk mata wang dolar Amerika Syarikat bertujuan menggalakkan syarikat dibiayai menerima kesan berikutan kadar turun naik tukaran wang asing yang tidak menentu. Pada masa sama, langkah ini selaras dengan usaha PMB Tijari untuk mengeksport kepakaran tempatan ke peringkat antarabangsa terutama melibatkan bidang mencabar seperti aeroangkasa, automotif, tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PMB di sini baru-baru ini.

Sehingga kini, PMB Tijari telah menyediakan pembiayaan berjumlah RM200 juta melibatkan 100 usahawan dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM300 juta dengan membabitkan tambahan 80 hingga 100 usahawan menjelang tahun ini.